Fadilat haji mabrur
Dipetik daripada Harian Metro 26 November 2008
SECARA zahir, tidak ada satu kayu pengukur bagi menentukan kesan atau keberkesanan hasil menunaikan haji terhadap diri seseorang walaupun secara umumnya haji dikategorikan kepada tiga iaitu Mabrur iaitu haji cemerlang yang diterima dengan sempurna; Makbul iaitu haji diterima; atau Majhul iaitu haji yang jahil (tanpa ilmu pengetahuan) dan tidak mendapat ganjaran atau pahala daripada Allah SWT. Persoalannya, bagaimana caranya mahu mendapatkan haji yang mabrur? Ulama al-Azhar, Dr Ahmad Syarbasi pernah menggariskan empat ciri penting dalam usaha memperoleh fadilat haji Mabrur.
Niat yang ikhlas. Keikhlasan adalah faktor terpenting menentukan sama ada amal ibadat kita diterima Allah. Bakal haji hendaklah meluruskan niatnya, semata-mata untuk menunaikan ibadat haji dan mencari keredaan Allah, tidak bercampur riak, ujub, takbur atau mahukan sanjungan manusia.
- Sumber harta yang halal. Segala perbelanjaan pergi dan balik serta makan minum ketika menunaikan haji itu hendaklah daripada sumber yang jelas. Apatah lagi daripada pendapatan yang haram atau syubahah (tidak jelas atau bercampur antara yang halal dan haram).
- Melaksanakan taubat dan memohon maaf. Antara syarat taubat ialah menyesal dan meninggalkan perbuatan maksiat itu. Kita juga berazam tidak akan mengulanginya dan meninggalkan perbuatan yang boleh menjerumuskan diri ke lembah maksiat.
- Selalu zikir dan istighfar. Sentiasa memohon keampunan Allah atas segala kesalahan serta memperbaiki amalan itu, di samping memperbanyakkan zikrullah dan amalan sunat lain. Sebagai manusia biasa, adalah sukar untuk kita menilai tahap haji orang lain, namun tentunya kita boleh mengukur diri sendiri sejauh mana sikap, pemikiran, tingkah laku, percakapan dan perwatakan kita berubah menjadi lebih baik selepas menunaikan haji.
Seseorang yang berjaya memperoleh haji mabrur tentunya akan lebih baik, lebih alim atau lebih bertakwa jika dibandingkan dengan keadaan sebelumnya, berjaya menghayati falsafah ibadat haji.


1 comments:
Moga2 kita semua antara yg terpilih untuk memperolehiu haji mabrur,insyaallah..
Post a Comment