Cerita nih, aku dapat semasa aku 'surf' internet dan aku nak kongsi bersama dengan kengkawan...
CERITA 10 MUHARRAM
CERITA 10 MUHARRAM
Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. setelah berhijrah ke Madinah melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada 10 Muharram. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada mereka: “Hari apakah ini yang kamu berpuasa padanya?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari yang agung. Hari ini Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya. Hari ini juga Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Musa berpuasa pada hari ini sebagai syukur kepada Allah. Lalu kami turut juga berpuasa.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kami lebih layak mengikuti Musa dari kamu.” Lalu Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang Islam yang lain juga berpuasa.
Puasa Asyura’
Puasa Asyura’
Sebahagian umat Islam di Malaysia mungkin lebih mengenali bubur asyura dari puasa Asyura’. Di Malaysia juga mungkin lebih masyhur cerita bahawa Nabi Nuh a.s. dan beberapa orang beriman sesudah diselamatkan oleh Allah dari banjir besar, mencampurkan semua makanan yang ada pada mereka (ada yang menambah; dengan daun-daun dan dahan-dahan kayu) lalu mereka memasak bubur asyura. Konon untuk menghidupkan sunnah tersebut, maka masyarakat kita mengamalkan memasak bubur asyura pada waktu-waktu tertentu (tapi tanpa daun dan dahan kayu).
Sebenarnya ada dua peristiwa besar yang diriwayatkan dengan riwayat yang sahih berlaku pada 10 Muharram; kematian Firaun setelah tenggelam di Laut Merah dan pembunuhan Husain bin Ali r.a. pada Jumaat 10 Muharram 61 Hijrah di Karbala’. Kedua-dua peristiwa ini adalah peristiwa penting. Tetapi sunat berpuasa pada 10 Muharram (hari Asyura) hanya berkait dengan peristiwa kemusnahan Firaun sahaja dan tidak ada sebarang kaitan dengan pembunuhan Husain r.a. di Karbala’. Syiah memperingatinya setiap tahun dan melakukan amalan-amalan bid’ah sempena tarikh tersebut. Tetapi ajaran sunnah yang sebenarnya adalah disunatkan berpuasa sempena memperingati peristiwa Allah menyelamatkan Nabi Musa a.s. dari buruan Firaun tanpa dikaitkan sedikit pun dengan peristiwa pembunuhan Husain r.a.
Imam Ibnu al-Qayyim menyebut di dalam Zadul Ma’ad: “Puasa Asyura ada tiga darjat: Berpuasa 9, 10 dan 11 Muharram. Ini yang paling sempurna. Berpuasa 9 dan 10 Muharram. Ini yang paling banyak disebut di dalam hadis. Berpuasa 10 Muharram sahaja.”
Disunatkan berpuasa 9 dan 11 Muharram agar ibadah kita sebagai umat Islam berbeza dengan ibadah orang-orang Yahudi yang berpuasa pada hari 10 Muharram sahaja. Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim: “Jika aku masih lagi hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa juga pada hari 9 Muharram.”
Puasa Asyura’ adalah di antara puasa-puasa yang afdhal. Ada ulama’ yang berpendapat bahawa sebelum para sahabat r.a. diwajibkan berpuasa penuh sebulan pada bulan Ramadhan, mereka telah diwajibkan terlebih dahulu berpuasa pada 10 Muharram. Mereka juga membiasakan anak-anak mereka untuk berpuasa pada hari Asyura’.
Bukhari meriwayatkan dari ar-Rabi’ binti Muawwidz r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pergi ke perkampungan Ansar pada hari Asyura’ dan bersabda: “Sesiapa yang telah makan pada hari ini, jangan lagi makan sehingga habis siang hari ini. Sesiapa yang berpuasa, teruskan berpuasa.” Ar-Rabi’ r.a. berkata: “Kami berpuasa pada hari itu dan menyuruh anak-anak kami berpuasa. Kami mereka untuk mereka permainan. Apabila ada yang menangis meminta makanan, kami akan lekakan dia dengan permainan itu sehingga berbuka.”
Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tobroni: “Tidak ada hari yang afdhal berpuasa melebihi hari-hari di bulan Ramadhan dan hari Asyura’.”
Kemusnahan Firaun
Firaun musnah pada hari itu. Dia adalah insan yang diabadikan kisahnya di dalam banyak ayat di dalam al-Quran dan dijanjikan oleh Allah akan diselamatkan jasadnya. Allah berfirman:“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”. (Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?” Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terselamat dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar) dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!” (Yunus: 90-92)
Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : " Siapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan siapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Asyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka."Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : " Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Asyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W : " Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Aasyura, menjadikan laut pada hari Aasyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Asyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Asyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Asyura, Allah S.W.T menenggelamkan Fir'aun pada hari Asyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Asyura, Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Asyura, Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Asyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Asyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Asyura !".
Wallahu'alam...


0 comments:
Post a Comment